Tanpa disedari, tatkala dunia ketiga seronok menjadi pembeli dan pengguna
kepada teknologi canggih, negara-negara maju seperti Amerika dan Eropah
pula seronok mengintip dan merancang untuk menakluk dunia menggunakan
teknologi yang sama. Mereka mempunyai kelebihan yang besar kerana
teknologi tersebut adalah hasil ciptaan mereka.
Kebiasaannya,
setiap penemuan baru akan diuji dan digunakan ketika berperang. Perang
Dunia Pertama menjadi bukti bagaimana jenama seperti Benz dan Porcshe
mempelopori teknologi automotif untuk digunakan semasa peperangan, dan
disokong pula oleh sumber getah yang banyak dari Brazil untuk
menghasilkan tayar, dan penggunaan petrol dan diesel sebagai ganti
kepada enjin wap. Britain lantas mengkoloni Asia dan Amerika Latin
khusus untuk menguasai sumber asli tersebut. Apabila perang berakhir,
Benz dan Porcshe mencipta kekayaan yang tidak terhingga, dan kemudian
beralih kepada menghasilkan kenderaan awam dan menjualnya ke serata
dunia. Mercedes Benz contohnya adalah pemegang paten kepada teknologi
tali pinggang keselamatan, brek ABS, Beg Udara dan pelbagai lagi inovasi
automotif.
Perang dunia kedua pula menyaksikan kehebatan
jenama Amerika dan Britain seperti Boeing dan Rolls Royce mendominasi
ruang angkasa. Boeing kekal sebagai pelopor kepada teknologi aeronautik
sehingga hari ini. Penguasaan ruang angkasa membolehkan penjajahan yang
lebih besar serta pemetaan semula sempadan negara di dunia mengikut
kehendak dan cita rasa para penjajah. Lihat sahaja bagaimana mereka
memeta semula benua Arab dan Asia Tengah.
Persempadanan geografi
rupanya tidak mencukupi. Tiga puluh tahun yang lalu, teknologi internet
mula digunakan oleh tentera Amerika untuk berhubung sesama mereka dengan
lebih selamat dan bebas tanpa sekatan geografi. Kepesatan pembangunan
teknologi komunikasi bermula apabila Amerika memenangi perlumbaan ke
angkasa lepas dan telah mengaut keuntungan yang amat besar.
Pada
hari ini, penggunaan telefon bimbit dan internet telah menjadi
keperluan mustahak kepada hampir setiap penduduk dunia, tanpa menyedari
bahawa teknologi ini masih dimiliki oleh penciptanya. Sempadan geografi
sudah tidak memberi apa-apa makna. Hari ini senjata pemusnah
besar-besaran atau Weapons of Mass Destruction telah terpasang di setiap
rumah, sekolah dan pejabat; diolah dan ditempa menjadi produk untuk
bersosial dan bersuka-ria.
Pada hari ini kita masih menganggap
remeh akan bahayanya ancaman internet dan betapa mudahnya ia dijadikan
alat untuk mencuri aset yang paling berharga iaitu maklumat. Justeru,
program pengintipan Amerika ke atas negara-negara kawan dan lawan
bukanlah perkara yang memeranjatkan kerana jika tiada teknologi
komunikasi yang canggih pun, kuasa besar seperti Amerika tetap akan
mencari jalan mengintip setiap gerak-geri sasaran mereka.
Sekiranya
Malaysia mahu diintip maka sudah tentu komoditi yang menjadi idaman
ialah Petronas. Petronas pada hari ini bukan sekadar ‘toukeh minyak’ di
Malaysia, tetapi sudah memiliki hak untuk meneroka, memproses dan
menjual minyak daripada banyak negara. Menguasai Petronas bermakna
menguasai sebahagian besar sumber tenaga dan kekayaan dunia. Apatah
lagi tatkala mengetahui syarikat ini cuma dimiliki oleh sebuah negara
kecil yang aman, mewah, berpendidikan dan terletak di tengah-tengah Asia
Tenggara; telah menjadikan Petronas begitu menyelerakan.
Sang
penjajah tidak perlu bersusah payah mengirim bala tentera sebagaimana
yang berlaku di negara Timur Tengah dan Amerika Latin. Perang zaman
moden terlalu mahal dan skala kemusnahannya amat dahsyat. Penjajah
terpaksa berbelanja besar untuk membina semula infrastruktur dan
menyediakan tenaga kerja yang layak, rajin dan murah. Di Malaysia
semuanya telah tersedia hasil titik peluh rakyat dan pemerintah dahulu
kala.
Malangnya Petronas akhir-akhir ini semakin menjarakkan
dirinya daripada rakyat Malaysia, seolah-olah ia bukan lagi produk
tempatan. Kepakaran asing diagung-agungkan manakala kebolehan anak
tempatan diperlekehkan. Membiarkan Petronas dijaga oleh bangsa asing
tidak ubah seperti membiarkan negara ini dikawal oleh tentera penjajah
yang niatnya hanya satu iaitu merompak setiap titik emas hitam yang ada
pada Petronas.
Apakah perubahan polisi dan hala tuju mendadak
Petronas pada hari ini hasil daripada kejayaan intipan kuasa besar, atau
mungkin kerja ‘talam dua muka’ yang sepatutnya dihumban ke penjara,
tiada siapa yang tahu.
Sekiranya Amerika tidak berminat dengan
Petronas, tidak mustahil sekiranya mereka mahu mengintip dan menghambat
komitmen negara dalam memeterai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik
(TPPA); yang menjanjikan pulangan mencecah trillion dolar Amerika, dan
mengimbangi semula ancaman daripada negara timur seperti China, Korea
dan India. Para pelobi Amerika begitu bersungguh untuk menjual formula
perdagangan bebas ala-Amerika seperti GATT, WTO, APEC dan terkini TPPA
yang pada asasnya sama sahaja iaitu memastikan setiap kehendak para
pedagang Amerika dipenuhi.
Apa yang digembar-gemburkan sebagai
standard yang tinggi sebenarnya hanyalah rantai yang akan mengikat
tangan dan kaki negara kecil seperti Malaysia. Kita tidak fikir mereka
berminat untuk membeli kereta buatan Malaysia, tetapi sudah pasti mereka
mahu menjual kereta mereka ke Malaysia. Mereka tidak mahu beras kita,
sebaliknya mereka mahu menjual beras mereka ke Malaysia dengan memaksa
kita menghapuskan sekatan tarif. Mereka sungguh-sungguh mahu memperkukuh
penguasaan terhadap teknologi dan hasil kreatif seperti karya-karya
filem Hollywood, termasuklah pornografi. Mereka mahu terus menjual
ubat-ubatan pada harga yang tinggi dengan cara memperketat akta
perlindungan paten dan hak cipta. Sekiranya gagal mematuhi,
peguam-peguam yang sudah terlatih sentiasa bersedia untuk mengheret
Malaysia ke tribunal antarabangsa yang tiada langsung nilai keluhuran
atau kedaulatannya.
Selama ini kita begitu berhati-hati apabila
berjanji dengan Amerika. Namun akhir-akhir ini Malaysia terlalu lembik
di meja rundingan, seolah-olah sudah dipukau dengan prospek wang ringgit
yang belum tentu. Apakah elemen intipan Amerika telah berjaya menerobos
ke dalam Dewan Parlimen yang mulia juga? Tiada siapa yang tahu.
Kita
bukan hendak mereka-reka cerita. Kita sudah begitu terbiasa dengan
siri risikan yang bermula dengan komplot sulit, penggunaan alatan serba
canggih, peranan si pembelot dan akhir sekali menggunakan maklumat yang
dicuri ini untuk mengugut, membunuh karakter atau memaksa pemerintah
agar mengikut telunjuk mereka. Skandal yang besar dan memalukan boleh
menumbangkan pemimpin berpengaruh, menggantikannya dengan tokoh-tokoh
boneka dan akhirnya menghuru-harakan kestabilan ekonomi dan sosial
sesebuah negara.
Terlalu banyak contoh untuk dinyatakan, namun
kita masih belum mahu mengambil teladan. Kita berharap Malaysia segera
sedar dan bangkit daripada tidurnya. Kita melihat apa yang berlaku pada
hari ini sebagai bukti kehadiran tangan-tangan ghaib Amerika yang saban
hari semakin kukuh cengkamannya.
Jika tidak ditangani dengan bijak dan berani, tamadun Malaysia akan musnah dalam sekelip mata.