Jom Joint...

Friday, November 15, 2013

Tangan-Tangan Ghaib Amerika Yang Saban Hari Semakin Kukuh Cengkamannya

 
Tanpa disedari, tatkala dunia ketiga seronok menjadi pembeli dan pengguna kepada teknologi canggih, negara-negara maju seperti Amerika dan Eropah pula seronok mengintip dan merancang untuk menakluk dunia menggunakan teknologi yang sama. Mereka mempunyai kelebihan yang besar kerana teknologi tersebut adalah hasil ciptaan mereka.

Kebiasaannya, setiap penemuan baru akan diuji dan digunakan ketika berperang.  Perang Dunia Pertama menjadi bukti bagaimana jenama seperti Benz dan Porcshe mempelopori teknologi automotif untuk digunakan semasa peperangan, dan disokong pula oleh sumber getah yang banyak dari Brazil untuk menghasilkan tayar, dan penggunaan petrol dan diesel sebagai ganti kepada enjin wap. Britain lantas mengkoloni Asia dan Amerika Latin khusus untuk menguasai sumber asli tersebut.  Apabila perang berakhir, Benz dan Porcshe mencipta kekayaan yang tidak terhingga, dan kemudian beralih kepada menghasilkan kenderaan awam dan menjualnya ke serata dunia. Mercedes Benz contohnya adalah pemegang paten kepada teknologi tali pinggang keselamatan, brek ABS, Beg Udara dan pelbagai lagi inovasi automotif.

Perang dunia kedua pula menyaksikan kehebatan jenama Amerika dan Britain seperti Boeing dan Rolls Royce mendominasi ruang angkasa. Boeing kekal sebagai pelopor kepada teknologi aeronautik sehingga hari ini. Penguasaan ruang angkasa membolehkan penjajahan yang lebih besar serta pemetaan semula sempadan negara di dunia mengikut kehendak dan cita rasa para penjajah. Lihat sahaja bagaimana mereka memeta semula benua Arab dan Asia Tengah.

Persempadanan geografi rupanya tidak mencukupi. Tiga puluh tahun yang lalu, teknologi internet mula digunakan oleh tentera Amerika untuk berhubung sesama mereka dengan lebih selamat dan bebas tanpa sekatan geografi. Kepesatan pembangunan teknologi komunikasi bermula apabila Amerika memenangi perlumbaan ke angkasa lepas dan telah mengaut keuntungan yang amat besar.

Pada hari ini, penggunaan telefon bimbit dan internet telah menjadi keperluan mustahak kepada hampir setiap penduduk dunia, tanpa menyedari bahawa teknologi ini masih dimiliki oleh penciptanya. Sempadan geografi sudah tidak memberi apa-apa makna.  Hari ini senjata pemusnah besar-besaran atau Weapons of Mass Destruction telah terpasang di setiap rumah, sekolah dan pejabat; diolah dan ditempa menjadi produk untuk bersosial dan bersuka-ria.

Pada hari ini kita masih menganggap remeh akan bahayanya ancaman internet dan betapa mudahnya ia dijadikan alat untuk mencuri aset yang paling berharga iaitu maklumat.  Justeru, program pengintipan Amerika ke atas negara-negara kawan dan lawan bukanlah perkara yang memeranjatkan kerana jika tiada teknologi komunikasi yang canggih pun, kuasa besar seperti Amerika tetap akan mencari jalan mengintip setiap gerak-geri sasaran mereka.

Sekiranya Malaysia mahu diintip maka sudah tentu komoditi yang menjadi idaman ialah Petronas. Petronas pada hari ini bukan sekadar ‘toukeh minyak’ di Malaysia, tetapi sudah memiliki hak untuk meneroka, memproses dan menjual minyak daripada banyak negara. Menguasai Petronas bermakna menguasai sebahagian besar sumber tenaga dan kekayaan dunia.  Apatah lagi tatkala mengetahui syarikat ini cuma dimiliki oleh sebuah negara kecil yang aman, mewah, berpendidikan dan terletak di tengah-tengah Asia Tenggara; telah menjadikan Petronas begitu menyelerakan.

Sang penjajah tidak perlu bersusah payah mengirim bala tentera sebagaimana yang berlaku di negara Timur Tengah dan Amerika Latin.  Perang zaman moden terlalu mahal dan skala kemusnahannya amat dahsyat. Penjajah terpaksa berbelanja besar untuk membina semula infrastruktur dan menyediakan tenaga kerja yang layak, rajin dan murah. Di Malaysia semuanya telah tersedia hasil titik peluh rakyat dan pemerintah dahulu kala.

Malangnya Petronas akhir-akhir ini semakin menjarakkan dirinya daripada rakyat Malaysia, seolah-olah ia bukan lagi produk tempatan. Kepakaran asing diagung-agungkan manakala kebolehan anak tempatan diperlekehkan. Membiarkan Petronas dijaga oleh bangsa asing tidak ubah seperti membiarkan negara ini dikawal oleh tentera penjajah yang niatnya hanya satu iaitu merompak setiap titik emas hitam yang ada pada Petronas.

Apakah perubahan polisi dan hala tuju mendadak Petronas pada hari ini hasil daripada kejayaan intipan kuasa besar, atau mungkin kerja ‘talam dua muka’ yang sepatutnya dihumban ke penjara, tiada siapa yang tahu.

Sekiranya Amerika tidak berminat dengan Petronas, tidak mustahil sekiranya mereka mahu mengintip dan menghambat komitmen negara dalam memeterai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA); yang menjanjikan pulangan mencecah trillion dolar Amerika, dan mengimbangi semula ancaman daripada negara timur seperti China, Korea dan India. Para pelobi Amerika begitu bersungguh untuk menjual formula perdagangan bebas ala-Amerika seperti GATT, WTO, APEC dan terkini TPPA yang pada asasnya sama sahaja iaitu memastikan setiap kehendak para pedagang Amerika dipenuhi.

Apa yang digembar-gemburkan sebagai standard yang tinggi sebenarnya hanyalah rantai yang akan mengikat tangan dan kaki negara kecil seperti Malaysia. Kita tidak fikir mereka berminat untuk membeli kereta buatan Malaysia, tetapi sudah pasti mereka mahu menjual kereta mereka ke Malaysia. Mereka tidak mahu beras kita, sebaliknya mereka mahu menjual beras mereka ke Malaysia dengan memaksa kita menghapuskan sekatan tarif. Mereka sungguh-sungguh mahu memperkukuh penguasaan terhadap teknologi dan hasil kreatif seperti karya-karya filem Hollywood, termasuklah pornografi.  Mereka mahu terus menjual  ubat-ubatan pada harga yang tinggi dengan cara memperketat akta perlindungan paten dan hak cipta.  Sekiranya gagal mematuhi, peguam-peguam yang sudah terlatih sentiasa bersedia untuk mengheret Malaysia ke tribunal antarabangsa yang tiada langsung nilai keluhuran atau kedaulatannya.

Selama ini kita begitu berhati-hati apabila berjanji dengan Amerika. Namun akhir-akhir ini Malaysia terlalu lembik di meja rundingan, seolah-olah sudah dipukau dengan prospek wang ringgit yang belum tentu. Apakah elemen intipan Amerika telah berjaya menerobos ke dalam Dewan Parlimen yang mulia juga? Tiada siapa yang tahu.

Kita bukan hendak mereka-reka cerita.  Kita sudah begitu terbiasa dengan siri risikan yang bermula dengan komplot sulit, penggunaan alatan serba canggih, peranan si pembelot dan akhir sekali menggunakan maklumat yang dicuri ini untuk mengugut, membunuh karakter atau memaksa pemerintah agar mengikut telunjuk mereka.  Skandal yang besar dan memalukan boleh menumbangkan pemimpin berpengaruh, menggantikannya dengan tokoh-tokoh boneka dan akhirnya menghuru-harakan kestabilan ekonomi dan sosial sesebuah negara.

Terlalu banyak contoh untuk dinyatakan, namun kita masih belum mahu mengambil teladan. Kita berharap Malaysia segera sedar dan bangkit daripada tidurnya.  Kita melihat apa yang berlaku pada hari ini sebagai bukti kehadiran tangan-tangan ghaib Amerika yang saban hari semakin kukuh cengkamannya.

Jika tidak ditangani dengan bijak dan berani, tamadun Malaysia akan musnah dalam sekelip mata.

No comments:

Post a Comment