Jom Joint...

Thursday, February 16, 2012

Setiap penyakit ada penawar jika berikhtiar

DARI Anas bin Malik r.a, Nabi SAW bersabda: "Janganlah sekali-kali salah seorang daripada kamu mengharapkan kematian kerana suatu malapetaka yang menimpanya. Jika ia tidak dapat berbuat sesuatu (sudah puas berubat atau berikhtiar) maka hendaklah ia berdoa: "Wahai Tuhanku, hidupkanlah aku seandainya kehidupan itu lebih baik bagiku, tetapi matikanlah aku seandainya kematian itu lebih baik bagiku." (Riwayat Bukhari)

Huraian Hadis
 
ISLAM menyuruh umatnya agar berusaha dan berikhtiar dalam apa juga perkara dan kesulitan yang dialami di samping berdoa memohon petunjuk dan pertolongan daripada Allah SWT.
Hal ini kerana kehidupan itu adalah suatu ujian daripada Allah yang diberikan kepada setiap manusia demi menguji sejauh mana keteguhan iman seseorang itu dan setakat manakah pergantungannya terhadap Allah.

Golongan yang beriman akan sentiasa bersabar dan tabah menghadapi dugaan, sebaliknya bagi orang yang kurang imannya yang mana hal yang demikian boleh menyebabkan seseorang itu menyalahkan takdir Allah hingga diri tersesat jauh daripada jalan-Nya.

Oleh itu hendaklah kita sentiasa beringat bahawa setiap kesakitan atau ujian yang dialami itu adalah suatu tanda kasih sayang Allah kepada hamba-Nya yang mana jika seseorang itu berjaya mengatasinya iaitu ia tidak mengeluh dan sentiasa bersabar sambil berusaha dan berikhtiar, Allah akan memberinya ganjaran pahala yang amat besar.

Bukankah setiap penyakit itu ada ubatnya. Maka kita selaku hamba-Nya mesti yakin akan kebesaran kuasa Allah dan janji Allah serta tidak berputus asa. Hidup adalah suatu perjuangan. Bak kata pepatah Melayu ‘pantang maut sebelum ajal’. 
 
 
Dipetik dari Laman Akhbar Tempatan...

No comments:

Post a Comment