‘SEBAB pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa.’ Begitulah pepatah Melayu lama peninggalan warisan budaya sosial Melayu yang memperingatkan setiap individu dalam masyarakat agar peka dengan impak negatif yang berpunca daripada mungkar lidah.
Meskipun pepatah berkenaan sekian lama kita fahami, namun ada kalangan mukmin yang memandang ringan dalam aspek memelihara dan menjaga lidah. Banyak suruhan dan perintah Allah seperti ibadah solat, puasa dan haji mampu kita laksanakan dengan baik. Malah kita begitu komited sekali menjayakan ibadah yang disuruh Allah itu. Tetapi mengapa dalam bab menjaga lidah ini kita menjadi lalai dan pandang sebelah mata sahaja? Banyak sudah berlaku krisis sosial antara individu dengan individu yang lain berpunca angkara buruk tutur kata dilontarkan. Misalnya perbuatan mengumpat insan yang lain ataupun mengada-adakan cerita tidak benar. Hal ini jika ditinjau perspektif psikologi jelas akan meninggalkan kesan kejiwaan negatif. Atas soal itulah awal-awal lagi Islam menunjukkan agar umatnya berwaspada dengan kurniaan teragung buat manusia ini, iaitu lidah.
Saidina Ali Abi Talib ada berpesan, “Bagi orang beriman, lidah yang dikurniakan Allah itu tidak digunakan untuk berbicara sesuka hati dan yang sia-sia, sebaliknya digunakan untuk mengeluarkan mutiara yang berhikmah.” Apa yang dimaksudkan mutiara yang berhikmah itu? Ya, sudah tentu menggunakan lidah untuk berbicara soal agama, mengajak yang makruf dan mencegah yang mungkar. Juga mengeluarkan pendapat yang akan memberikan motivasi bermanfaat buat teman atau mungkin menggunakannya untuk memberikan nasihat dalam soal kehidupan beragama yang betul. Rasulullah ada menjelaskan bahawa kesilapan akibat keterlanjuran lidah akan mengundang bencana besar di akhirat kelak. Kata Baginda, “Sesiapa yang banyak perkataannya, nescaya banyaklah silapnya. Sesiapa yang banyak silapnya, nescaya banyaklah dosanya. Dan sesiapa yang banyak dosanya, nescaya neraka lebih utama baginya.” (Hadis riwayat Abu Naim) Pesan Baginda lagi, “Seorang mukmin bukanlah pengumpat, yang suka mengutuk yang keji dan yang ucapannya kotor.” (Hadis riwayat Bukhari) Soalnya sekarang, berapa ramai yang ambil peduli aspek yang dinasihatkan Rasulullah itu? Jadi, kita seharusnya insaf bahawa aspek menjaga lidah dengan mempergunakan kepada saluran bermanfaat sangat perlu difokuskan. Jangan biarkan lidah kita sebagai tempat bersarangnya syaitan dan konconya. Ini kerana lidahlah menjadi salah satu kegemaran syaitan untuk menjerumuskan manusia mukmin ke lembah kederhakaan kepada Allah.
Islam memberi dua pilihan kepada umatnya bagaimana kaedah memanfaatkan lidah dikurniakan Allah. Satu, berkata-kata yang baik dan berguna untuk insan lain. Kedua, pendekatan berdiam diri sahaja.
Biarlah rakan kita mengatakan yang kita jenis pendiam dan hendak tunjuk alim dengan kaedah berdiam. Biarkan sahaja. Ini kerana cara berkenaan akan mengelakkan diri kita digolongkan sebagai orang yang tipis imannya. Ingatlah akan kata-kata Rasulullah ini, “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (Hadis riwayat Bukhari-Muslim) Mukmin yang bijak dan berhemah dalam memanfaatkan lidahnya diberikan jaminan Rasulullah dengan ganjaran syurga Allah. Kata Rasulullah, “Sesiapa yang menjamin untukku memelihara apa yang ada di antara dua gerahamnya (lidah) dan yang ada di antara dua kakinya (kemaluan), maka akan kujamin baginya syurga.” (Hadis riwayat Bukhari dan at-Tirmidzi). Fikirlah secara mendalam peringatan Rasulullah itu kerana lidah diletakkan pengkhususan utama dalam mendapat ‘surat izin’ Allah masuk ke syurga-Nya. Cuai dan alpa dalam memeliharanya bermakna kita akan gagal melepasi piawai sebagai seorang yang beriman dan bertakwa yang sebenar-benarnya.
Seandainya selama ini kita terbiasa sangat dengan perbuatan dikutuk Allah dengan mengeluarkan kata-kata kotor, berumpat nista terhadap orang lain, mencipta cerita yang mengaibkan, mengadu domba demi kepentingan diri ataupun bertikam lidah sehingga mencetus pertelingkahan, maka kita sepatutnya memberhentikan serta-merta sambil mengambil langkah pembetulan diri dengan bertaubat.
Dilihat dari sudut psikoneurolinguistik, masalah penyalahgunaan lidah apabila bercakap mengeluarkan perkataan kotor, bertabiat buruk dengan mengumpat atau mengada-adakan cerita terhadap pihak lain ditafsirkan sebagai satu pelencungan kewarasan dalam berfikir dan bertindak.
Dari sudut psiko-sosiologi pula menjelaskan sikap jiwa yang kurang stabil dan mempunyai ego secara keterlaluan. Jadi, munasabahlah Allah begitu menekankan kepada hamba-Nya supaya berhati-hati dalam menggunakan lidah agar jiwa dan gaya berfikir waras dan penuh kebijakan dapat dipamerkan setiap mukmin.
Justeru, kita jangan hanya unggul dengan ibadah wajib dan sunat, sebaliknya juga terbilang dengan nilai sahsiah peribadi yang mahmudah. Ingatlah dan sematkan di hati bahawa kita akan mati seterusnya akan dibawa ke muka pengadilan Allah yang Maha Adil di Padang Mahsyar nanti. Ketika itu buku catatan amal ditunjukkan kepada kita. Apakah sanggup kita lihat buku amalan kita penuh dengan kes penyalahgunaan lidah. Sanggupkah kita? Mengeluarkan tutur kata yang baik juga adalah amal soleh dan Allah akan memberikan ganjarannya di akhirat kelak. Allah berfirman, “Orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itu penghuni syurga, sedang mereka kekal di dalamnya.” (Al-Baqarah ayat 82). Firman Allah lagi, “Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki dan wanita, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiaya sedikitpun.” (Maksud surah An-Nisa ayat 124) Sepatutnya kedua-dua ayat Allah ini kita baca dan renungi selalu supaya kita tidak menyalahgunakan nikmat kurniaan Allah kepada kita, termasuk dalam hal memelihara lidah itu.
No comments:
Post a Comment