Untuk memasuki negara lain, kita memerlukan pasport. Tanpa pasport, kita
akan dianggap pendatang tanpa izin dan boleh diusir keluar bila-bila
masa sahaja. Jika diusir, jangan salahkan sesiapa kerana itulah
undang-undang yang telah difahami umum.
Demikian juga untuk masuk
ke alam dunia ciptaan ALlah SWT ini, tetap perlukan kepada pasport.
Pasport hidup di dunia ini ialah Islam yang syumul. Tidak berakidah
dengan akidah Islam ertinya hidup di dunia tanpa pasport. Berpegang
dengan undang-undang selain undang-undang Allah SWT pula ertinya
memegang pasport tanpa cop visa. Kedua-duanya salah dan boleh dianggap
sebagai pandatang tanpa izin. Jika diusir dari sesebuah negara boleh
kembali ke negara asal. Namun, jika diusir dari dunia milik Allah SWT,
ke mana lagi kaki ingin melangkah?
Itulah ibarat orang-orang yang
hidup dengan undang-undang ciptaan manusia. Selama-lamanya manusia
tidak akan mampu mengawal manusia. Hari ini, saya membaca berita
mengenai Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan kelmarin. Sekali
lagi menyaksikan ketirisan berbillion ringgit wang rakyat yang
dibelanjakan di sektor-sektor kerajaan.
Ia bukan jumlah yang
sedikit. Bajet perbelanjaan negeri Kelantan sahaja hanya sekitar RM500
juta setahun, bayangkan jika ketirisan berbliion ringgit ini dapat
diselamatkan dan diagihkan kepada negeri seperti Kelantan, berapa
jutakah yang dapat manfaat darinya?
Sayangnya, ketirisan ini
bukan kali pertama berlaku. Ia akan terus berlaku selagi Umno Barisan
Nasional menjadi kerajaan. Puncanya, undang-undang manusia tidak akan
mampu mengawal manusia. Manusia boleh menggubal undang-undang, tetapi
manusia tidak sebijak Penciptanya iaitu Allah SWT.
Sekawan
kambing tidak akan dapat dikawal oleh kambing. Ia memerlukan kepada
gembala. Manusia mustahil dapat mengawal manusia, mereka memerlukan
kuasa yang lebih hebat, dan kuasa yang Maha Hebat itu ialah Allah SWT.
Takutlah
kepada Allah SWT. Audit di dunia mungkin kita boleh melepasinya, namun
audit di Akhirat nanti, jika gagal melepasinya hanya neraka yang menjadi
tempat balasannya.
Sekian, wassalam.
Yang benar,
Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)
Bertarikh: 26 Dzulka'edah 1434 H|2 Oktober 2013
Dipetik dari : http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/22458-laporan-audit-bukti-undang-undang-manusia-gagal
No comments:
Post a Comment